Harian metro1 Online
Kisah Mengapa Mendiang Karpal Singh Tidak Memakai Serban (Turban)
Pernah sekali penulis terdengar pergaduhan di Parlimen melibatkan mendiang Karpal Singh ketika penulis masih wartawan dengan sebuah syarikat akhbar arus perdana.
Ketika itu hari pembentangan Bajet (tak ingat tahun mana) dan sebelum pembentangan dibuat, Karpal bangun mempersoalkan sesuatu berhubung aturan di Parlimen.
Seperti biasa… maka timbullah suara yang mendesak beliau agar duduk… diselang seli dengan pertukaran kata-kata kasar dari kedua belah pihak (kerajaan dan pembangkang).
Antara yang penulis masih ingat adalah seorang Ahli Parlimen menjerit… “Hoi bengali, duduklah”.
Lepas itu, ada pulak yang menyambung… “Ini bukan bengali… ini bengali murtad… serban tarak,” .
Bengali kalau di rantau Asia Selatan bukan merujuk kepada orang Sikh tetapi kepada orang Bangladesh… tapi tidak mengapa dengan pemahaman seperti itu… ia tidak berapa penting buat masa ini.
Walaupun serban adalah tenet atau prinsip penting dalam agama Sikh, namun yang tidak memakainya bukan dikatakan murtad tetapi dikenali sebagai sahajdhari (berlajar dan menerima secara perlahan-lahan).
Seperti mendiang Karpal, beliau mengamalkan semua prinsip utama (5K) dan memakai serban pada waktu-waktu tertentu menjadikan beliau sebagai seorang sahajdhari.
Pemakai serban dan pengamal 4 lagi perkara wajib dikenali sebagai lelaki Khalsa.
Mengikut ajaran Sikh, tidak ada satu bulu pun di badan yang boleh dipotong atau dibuang. Penggunaan serban adalah bertujuan mengemaskan rambut panjang yang akan tumbuh selepas bertahun-tahun tidak dipotong.
Ok berbalik kepada tajuk rencana ini… mengapa Karpal Singh memilih untuk tidak mengenakan serban?
Jika mengikut wawancara beliau dengan sebuah akhbar berbahasa inggeris beberapa tahun lalu, Karpal berkata, beliau memakai serban secara tetap sehingga tahun 1970.
“Bagaimanapun, pada 1969 saya telah berada di kedai gunting rambut menunggu giliran saya untuk mengunting rambut saya yang panjang sebelum menoleh ke luar tingkap dan melihat ayah saya sedang menaiki basikal (lalu di hadapan kedai), saya terus gugup dan membatalkan hasrat.
“Tahun berikutnya saya berada di Alor Star dan ia sangat panas ketika itu yang merupakan musim menuai. Saya baru sahaja memulakan kerjaya sebagai peguam dan keperluan untuk membasuh dan mengikat rambut memakan masa yang amat lama. Saya berfikir bahawa sesuatu perlu dilakukan.
“Ia bukan mudah untuk mengambil tindakan seperti itu. Saya berseorangan dalam bilik saya, berjalan mundar-mandir memikirkan keputusan saya. Akhirnya, saya mengikat rambut saya, mengambil gunting dan memotong bahagian ekornya. Kemudian saya ke kedai gunting rambut dan tukang gunting mencantikan potongan saya,” katanya.
Sudah melakukannya satu benda kata beliau, untuk berhadapan dengan ibu bapanya satu lagi hal besar.
“Saya memakai kembali serban tetapi ibu saya perasan yang ia kelihatan lain dari belakang dan mula menangis. Dia menjerit ‘kamu telah memalukan kami’.
“Nasib baik ayah saya menarik saya ketepi dan berkata; : Sabar, orang perempuan memang suka membuat kecoh. Teruskan memakai serban untuk sedikit masa lagi sehingga mereka dapat menerima idea itu,” katanya.
Karpal seterusnya menambah, beliau memakai lagi serban untuk setahun sebelum menanggalkannya.
“Namun, pada majlis-majlis istimewa seperti perkahwinan anak saya, saya tetap akan pakai,” katanya.
Jadi… kita dapat fahamlah mengapa Karpal tidak memakai serban… satu tindakan yang diambil atas desakan kerjaya yang pada mula tidak diterima keluarganya tetapi kemudian boleh.
Akhir sekali… sahaja la penulis menulis rencana ini… bukan apa… mungkin ada yang berminat nak tahu.
Oleh: AK-47
(Nota: Pasukan Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) Felda Greenland 2014 telah memulakan langkah ekspedisi yang agak berbahaya. Mari kita sama-sama doakan kejayaan ekspedisi anak-anak muda kita yang dijangka memakan masa selama 28 hingga ke 35 hari. Tidak banyak yang dipohon melainkan ingatan kita kepada mereka agar mereka selamat pergi dan selamt kembali pulang. Ingat… cuaca di benua itu mampu mencapai negatif 45 darjah… bayangkan kita berada berhari-hari dalam situasi itu….kalau berjaya, akhirnya orang akan ingat nama Malaysia… jadi..marilah kita berbangga sedikit)
(Wajah mendiang ketika memakai serban di Universiti Singapura )
– Mynewshub
Posting Komentar