Kim Swee sedia hadapi Vietnam

Posted by Semua Berita Ada Disini


NAY PYI TAW, Myanmar - Pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee menuntut anak-anak buahnya supaya mempamerkan semangat juang yang tinggi pada aksi terakhir Kumpulan A acara bola sepak Sukan SEA 2013 menentang Vietnam di Stadium Zeyyer Thiri petang ini.
Kim Swee berkata, pemain-pemain tidak boleh berfikir untuk turun dengan misi mengutip satu mata kerana situasi itu mampu mengundang padah, sekali gus menutup peluang mereka melayakkan diri ke separuh akhir.
Bagaimanapun, kejayaan menjaringkan gol awal akan memberikan kelebihan kepada Harimau Malaya.
"Kami tidak boleh ambil sikap sambil lewa, pemain-pemain perlu bermain dengan semangat juang yang tinggi.
"Kami tidak boleh turun dengan misi untuk mendapatkan satu mata dan menjangkakan perkara yang mudah. Vietnam pasti melancarkan banyak serangan balas yang pantas.
"Rekod jaringan Vietnam juga sudah terbukti bahawa mereka mampu menjaringkan gol. Kami perlu lebih berhati-hati dengan pergerakan kapten, Nguyen Van Quyet.
"Dia memainkan peranan yang sangat baik tidak hanya di posisi tengah tetapi mampu melancarkan serangan yang berbahaya dari sebelah kiri dan kanan," kata Kim Swee selepas mengendalikan latihan ringan di tempat penginapan pemain di Golden Guest Hotel semalam.
Sementara itu, Kim Swee mengakui bahawa beliau berkemungkinan akan menurunkan barisan pemain yang berbeza pada perlawanan penting itu.
"Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, pemain-pemain perlu cergas sepenuhnya dan saya percaya mereka yang direhatkan atau yang belum diturunkan sudah pasti boleh menjalankan tugas dengan baik terutamanya bagi menghadapi perlawanan yang penting ini.
"Seperti mana yang saya sering beritahu sebelum ini, senarai nama hanya akan dikeluarkan beberapa jam sebelum perlawanan bermula.
"Saya harap sesiapa sahaja yang diturunkan nanti dapat bermain dengan baik," katanya.
Ketika ditanya mengenai sesi latihan semalam, Kim Swee berkata, beliau sengaja memilih untuk melakukan sesi latihan ringan kerana pemain baharu sahaja menamatkan perlawanan menentang Singapura (kelmarin) dan akan menentang Vietnam hari ini.
Katanya, selain memastikan pemain tidak rasa keletihan, mereka juga mempunyai banyak masa menganalisis corak permainan pihak lawan
Mengulas mengenai perlawanan hari ini, Kim Swee berkata, tidak ada pemain Harimau Muda yang alami kecederaan serius dan kesemua mereka bersedia untuk diturunkan.
Selepas seri 1-1 dengan Singapura, ada pengkritik yang mendakwa percaturan Kim Swee serba tidak menjadi dan beliau sudah ketandusan idea.
Bagaimanapun, beliau tidak mudah melatah dan menganggap isu itu sebagai perkara biasa.
"Ini adalah perkara biasa. Apabila pemain tidak menjaringkan gol, mereka akan dikritik. Apabila pasukan tidak menang, mereka juga akan dikritik.
"Namun, perjalanan kami masih jauh dan perkara yang paling penting adalah kami layak ke separuh akhir. Saya harap, pemain-pemain akan menjadikan perkara itu sebagai satu cabaran," katanya.
Selepas mengharungi tiga perlawanan, Harimau Muda berjaya mengumpul tujuh mata, ketinggalan satu mata di belakang Singapura diikuti Vietnam (enam mata), Laos (satu mata) dan Brunei tanpa sebarang mata.

Related Post



Posting Komentar