Bisnes Kopi Banting

Posted by Semua Berita Ada Disini

SETIAP hari ketika azan Subuh berkumandang, seorang remaja berusia awal 20-an terkejut daripada lena. Kemudian, dia mempersiapkan diri sebelum mengayuh sebuah basikal tua mengelilingi seluruh kampung di Kanchong Darat, Banting di Selangor.
Rutin harian yang bermula kira-kira pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari itu dilakukan sebanyak tiga hingga empat kali untuk mengutip buah kopi yang dikumpulkan daripada penduduk kampung.

Sambil sesekali matanya melilau dan hilai tawanya memecah kesunyian kediaman yang berusia hampir 100 tahun itu, Tan Chin Siong, 76, menceritakan semula memori dirinya ketika bergelar pengutip kopi era 1950-an.
Pekerjaan warisan keluarga daripada bapanya yang berasal dari China itu diturunkan kepada Chin Siong sebelum diwarisi anak lelakinya, Meng Soo, 43.
Chin Siong berkata, pada tahun 1950-an hingga 1980-an, daerah itu dipenuhi ladang kopi kerana rata-rata penduduk tempatan menanam kopi bagi menampung kehidupan keluarga.
Pada ketika itu, Chin Siong mempunyai lima hingga lapan hektar ladang kopi terutama jenis kopi Liberica yang ditanam di kawasan tanah lapang di sekitar kediamannya.
"Ketika saya masih muda, pokok kopi sangat banyak. Semua orang kampung menanam pokok kopi sebab mudah dijaga. Setiap hari, saya mengutip buah kopi di rumah-rumah penduduk kampung," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

PROSES pembungkusan adalah peringkat terakhir pembuatan kopi di Kilang Kopi FAMA.


Teknik tradisional
Selepas hampir separuh abad menghasilkan beras kopi melalui teknik tradisional, kini perusahaan tersebut seumpama di hujung tanduk.
Ini kerana, kawasan tanaman pokok kopi miliknya hanya tinggal sekangkang kera iaitu 0.8 hektar.
Sekitar pukul 1 tengah hari ketika matahari terik memancar, anak bongsu Chin Siong iaitu Tan Meng Soo khusyuk mengasingkan buah kopi yang sedang dikeringkan di batas beralun di belakang rumahnya.
Meng Soo kini mengulang semula rutin harian bapanya kira-kira 50 tahun lalu, namun dia bernasib baik kerana tidak perlu lagi mengelilingi kampung setiap pagi.
Sebaliknya, dia hanya menunggu panggilan telefon daripada penduduk tempatan yang masih menanam kopi di kediaman masing-masing sebelum mengutip hasil buah kopi.
Meng Soo turut membiasakan diri dengan rutin mengeringkan buah kopi untuk ditukar kepada beras kopi sejak umurnya 20 tahun.
"Jika dahulu, bapa saya menaiki basikal mengelilingi kampung kerana tidak cukup duit untuk membeli motosikal. Sekarang lebih mudah kerana saya mengutip buah kopi menggunakan motosikal," jelasnya.
Berbicara mengenai buah kopi yang dikumpul itu, dia berkata, buah itu akan diproses menggunakan mesin khas yang mempunyai bahagian kipas, pecah angin dan tapisan.
Jika dahulu, setiap beras kopi itu dihantar kepada pengilang terutama di Taiping, namun kini, Kilang Kopi Banting di bawah pengurusan Pembangunan Industri Asas Tani (Kopi) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menghantar buah kopi di kediamannya untuk diproses kepada beras kopi.
"Setiap kali menerima 10 hingga 20 kilogram (kg) buah kopi daripada kilang FAMA, perkara asas yang dilakukan ialah mengasingkan buah kopi yang baik sebelum setiap buah berkenaan dikeringkan.
"Proses pengeringan sangat mudah iaitu sekadar meratakan semua buah kopi berkenaan di atas simen yang dibuat seperti batas di bawah matahari yang terik.
"Semua buah kopi dibiarkan selama enam hingga tujuh hari sehingga kering sebelum dimasukkan ke dalam mesin pecah angin yang bertujuan mengasingkan beras kopi," tuturnya.

BUAH kopi yang ranum boleh dipetik dalam dua tempoh berbeza iaitu dari bulan Mac hingga Jun dan September hingga Disember.


Selain bergantung kepada FAMA, dia turut memetik buah kopi daripada pokok yang ditanam sendiri di hadapan kawasan pagar rumahnya.
Jelasnya, buah kopi yang berkualiti berwarna merah dan sedikit kekuningan tdan berbau harum.
Katanya lagi, musim paling tepat untuk memetik buah kopi ialah pada bulan Mac hingga Jun diikuti September hingga Disember.
Bagaimanapun, sejak empat tahun lalu, musim buah kopi ranum berubah tidak seperti 50 tahun lalu.
Menyorot sejarah kilang kopi milik FAMA di Jalan Pulai Kanchong Darat, Banting di Selangor, Fama Corporation (Famaco) Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 22 Januari 1974 oleh Datuk Seri Harun Idris yang pada ketika itu Menteri Besar Selangor.
Asalnya kilang tersebut sekadar berfungsi sebagai pusat pengumpulan kopi penduduk sekitar sebelum beralih kepada kilang membuat kopi pada 1980-an dengan jenama kopi Anggerek.
Difahamkan pada ketika itu Banting memegang gelaran pengeluar tanaman kopi Liberica terbesar di Malaysia dengan keluasan tanaman kopi 6,800 hektar.
Pembuatan kopi
Penyelaras Pengeluarannya, Ishak Ahmad Sadali berkata, proses pembuatan kopi sehingga menjadi serbuk melibatkan beberapa peringkat sehingga dibungkus menjadi produk kopi campuran.
"Kandungan serbuk kopi diadun bersama bahan-bahan seperti gandum, gula, marjerin, garam termasuk soya bertujuan menambah perisa terhadap keaslian kopi sedia ada.
"Proses pertama ialah memanggang biji kopi di dalam ketuhar khas kira-kira 20 minit pada suhu sehingga 200 darjah Celsius.
"Adunan akan dikacau secara berterusan dalam kuali pembakar selama 20 minit sehingga sebati. Kemudian adunan akan dituang ke dalam dulang besar untuk melalui proses penyejukan dan pengeringan selama 15 minit," jelasnya.
Ishak menambah, setelah sejuk, adunan membentuk ketulan-ketulan besar dan keras. Oleh itu semua adunan dimasukkan ke dalam mesin pecah untuk menghasilkan serbuk kasar sebelum dikisar menjadi serbuk halus dan dibungkus.

PROSES penyejukan beras kopi mengambil masa kira-kira 20 minit.


Ujarnya, jenis biji kopi yang digunakan ialah Liberica dan Robusta. Bagi pasaran tempatan, kopi jenama Anggerek mempunyai peminatnya yang tersendiri.
"Asas kepada rahsia dan kandungan setiap kopi pracampur tiga dalam satu dan kopi campuran yang dihasilkan kilang ini bergantung kepada pembuatan serta adunan kopi Anggerek," jelasnya.
Ishak menambah, kelebihan beras kopi Liberica terletak pada aromanya yang berbau wangi.
Malah, kebanyakan produk kopi keluaran FAMA menggunakan kira-kira 10 peratus beras kopi Liberica manakala selebihnya adalah kopi jenis Robusta.
"Keadaan tanah di daerah ini amat sesuai ditanam buah kopi Liberica. Selain faktor iklim, pokok berkenaan sesuai ditanam di kawasan tanah rendah," katanya.
Menurutnya, warna beras kopi Liberica kekuningan dan keemasan sudah cukup melambangkan betapa enaknya kopi itu sekiranya diadun sebagai minuman.
Antara kopi pracampur tiga dalam satu yang dihasilkan ialah kopi pracampur habbatus sauda, kopi pracampur dengan ginseng dan kopi pracampur dengan gano serta tongkat ali.

Related Post



Posting Komentar