Che ta nak anak juga

Posted by Semua Berita Ada Disini

Ada kebimbangan di hatinya untuk melalui kembali proses kehamilan kerana pengalaman indah itu sudah lama tidak dilaluinya apatah lagi keinginan untuk berbadan dua ketika ini perlu mengambil kira kemungkinan risiko yang bakal dihadapi.
Itulah ‘dilema’ yang dihadapi pelakon jelita Rozita Che Wan atau Che Ta selepas dia berkahwin buat kali kedua Disember lalu dengan pelakon Zain Saidin.
Kali terakhir wanita ini mengandung ialah 16 tahun lalu ketika melahirkan anak kedua, Aniq Ezzra. Seorang lagi anak lelakinya ialah Ammar Effendy yang kini sudah berusia 18 tahun. 

“Hampir enam minggu kami berkahwin, terus-terang saya memang mengharapkan hamil dalam masa terdekat. Usia pun bukannya muda lagi sudah 40-an.
MAKIN serasi menjadi isteri Zain selepas 11 tahun hidup sendiri.

“Saya teruja nak mengandung lagi sebab anak bongsu saya hasil perkahwinan dengan bekas suami dulu sudah berusia 16 tahun. Pun begitu, ada juga rasa bimbang sebab wanita 40-an dikatakan berisiko untuk mengandung.

“Mungkin di luar nampak kita sihat, tetapi dalam badan kita tak tahu sama ada masih kuat atau tak? Apapun, saya berharap saya tidak mengalami sebarang masalah untuk mengandung. 

“Walaupun saya sudah mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertama dulu, tetapi tentunya Zain mahukan zuriatnya sendiri,” katanya. 

Berita kehamilan pelawak dan pelakon Didie Alias, 40, yang kini sudah memasuki empat bulan sedikit sebanyak memberi harapan buat pasangan itu memiliki cahaya mata sendiri. 

“Bila dapat tahu Didie Alias mengandung, saya jadi seronok nak berbadan dua. Malah, Didie siap telefon lagi bagi tip dan perkenalkan satu minuman yang boleh membuat wanita hamil dengan cepat. Mudah-mudahan ada rezeki untuk saya dan Zain menimang cahaya mata,” katanya. 

Che Ta berkata, Zain mahukan anak lelaki manakala dia pula teringin untuk memiliki anak perempuan kerana sudah mempunyai dua anak lelaki hasil perkahwinan lalu iaitu Ammar dan Aniq. 

“Saya ingat kalau saya dapat hadiahkan seorang anak untuk Zain pun jadilah. Tapi mengenangkan dia mahukan anak lelaki sementara saya pula nakkan anak perempuan, nampaknya kenalah mengandung dua kali. Zain mahukan anak lelaki, sebab katanya boleh buat kawan. 

“Apa yang lebih penting bagi saya adalah tidak kira sama ada bayi lelaki atau perempuan yang penting anak cukup sifat dan sihat,” katanya. 

Berkongsi pengalaman bergelar isteri setelah 11 tahun menjadi ibu tunggal, Che Ta memberitahu pada mulanya dia agak kekok. Namun selepas dua minggu, dia mula biasakan diri dan kini lebih selesa hidup bersama Zain. 

“Mula-mula kahwin saya rasa kekok sampai tak boleh tidur. Maklumlah sudah terlalu lama saya hidup sendiri. Tiba-tiba tidur ada orang dekat sebelah, tapi sekarang dah semakin selesa. 

“Zain pula orangnya mudah dan tidak cerewet. Kalau saya sibuk, kami akan keluar makan di luar dan hujung minggu baru masak di rumah. Katakanlah kalau terlalu penat pulang daripada penggambaran dan saya tertidur, dia takkan mengganggu saya kerana memahami kerja pelakon yang selalu tidak cukup waktu rehat kerana dia juga adalah pelakon,” katanya. 

Baru saja pulang berbulan madu di Venice, Itali, Che Ta dan Zain ketika ini berada di Bali, Indonesia untuk berbulan madu kali kedua bersama-sama teman-teman yang terbabit sebagai tulang belakang majlis perkahwinannya. 

Mengalihkan perbualan kepada Zain pula, dia dan isteri baru saja selesai menjayakan penggambaran telemovie ‘Janjikan Aku Bahagia’ untuk slot Cerekarama TV3. Menerusi telemovie itu, dia dan Che Ta memegang peranan sebagai suami-isteri yang mana isterinya jauh lebih berusia. 

“Cerita ini ada kena-mengena sedikit dengan kami. Bezanya dalam telemovie ini, anak-anak tiri tidak menerima kehadiran saya sebaliknya dalam kehidupan sebenar Che Ta, anak-anaknya menerima saya menjadi sebahagian dalam hidup mereka. 

“Berlakon dengan Che Ta dalam hubungan kami sekarang suami isteri membuatkan saya lebih selesa. Di lokasi payah lagi nak ‘coverline’ kalau mahu bermanja-manja kerana dia isteri saya sekarang,” katanya memanggil Che Ta dengan panggilan sayang.

Related Post



Posting Komentar