Fenomena Cuaca Sejuk ....

Posted by Semua Berita Ada Disini

RUTIN harian Sukhon berubah sejak tiga bulan lalu sementelah lelaki warga Thailand itu terpaksa menjerang seperiuk besar air panas untuk kegunaannya mandi setiap pagi.
Malah, dia terpaksa mengenakan dua hingga tiga lapis pakaian termasuk baju sejuk dan stoking walaupun berada di dalam rumah.
Kesejukan luar biasa itu menyebabkan lelaki berusia lewat 40-an itu mengelak untuk keluar dari rumah terutamanya pada waktu malam dan awal pagi.
Cuaca sejuk dengan suhu minimum 17 darjah Celsius yang melanda Thailand bukan sahaja mengehadkan kegiatan harian penduduk malah turut memberi kesan kepada tanaman padi di negara itu.
"Tuaian baharu padi didapati tidak berkualiti kerana berbunga lebih awal daripada biasa.
"Apabila suhu rendah, pembajaan terjejas dan kami hanya mendapat sekam padi kosong," kata Presiden Kehormat Persatuan Pengeksport Padi Thailand, Vichai Sripraset menerusi portal berita Bangkok Post.
Lebih memburukkan keadaan, musim sejuk yang melanda seluruh wilayah utara, timur laut dan tengah Thailand itu telah meragut 63 nyawa setakat ini.
Turut menjadi mangsa ialah ialah seorang bayi berusia sebulan dan warga emas berumur 81 tahun serta seorang warga Kemboja dan seorang rakyat Britain.
Paling sejuk
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Thailand, Songkram Aksorn memberitahu, wilayah sempadan utara Chiang Rai mencatatkan paling banyak kematian dengan jumlah enam mangsa setakat ini.

Ia diikuti wilayah Sa Kaeo dan Nakhon Ratchasima di timur laut dengan masing-masing mencatat lima kematian.
Katanya, Bangkok turut mengalami waktu malam paling sejuk pernah direkodkan dalam tempoh 30 tahun dengan suhu jatuh sehingga 15.6 darjah Celcius.
"Musim sejuk tahun ini adalah paling panjang dalam dekad ini iaitu berlarutan sehingga tiga bulan," ujarnya.
Kejadian cuaca sejuk yang berlaku di Negara Gajah Putih itu turut melanda Malaysia apabila beberapa buah negeri di laporkan mencatatkan suhu purata serendah 17 darjah Celcius akibat terkena 'tempias' fenomena tersebut.

PENDUDUK Thailand terpaksa mengenakan baju sejuk dan skaf ketika berada di luar rumah.


Perlis yang pernah mencatatkan suhu paling panas iaitu 40.1 darjah Celcius pada tahun 1998 kini mengalami perubahan suhu yang nyaman iaitu sekitar 23.3 darjah Celcius pada waktu siang dan 20 darjah Celcius pada malam hari.
Beberapa buah kawasan di negeri Pantai Timur tidak terkecuali apabila mencatatkan suhu terendah pernah direkodkan dalam sejarah.
Jajahan Kuala Krai, Kelantan mencatatkan bacaan suhu paling rendah iaitu 17 darjah Celcius berbanding sekitar 29 darjah Celcius bagi suhu maksimum.
Kawasan Pasir Putih pula mencatatkan bacaan 19 darjah Celsius selain Kota Bharu dan Gong Kedak dengan purata 20 hingga 25 darjah Celsius.
Angin monsun
Di Terengganu, Besut mencatatkan penurunan sehingga 19 darjah Celsius menjadikan ia rekod suhu terendah yang pernah dicatatkan di daerah itu.
Seorang penduduk di Kerteh, Siti Nuur Ailmi Ahmad, 27, memberitahu, cuaca di daerah itu ternyata lebih dingin daripada biasa dengan suhu sekitar sekitar 21 darjah Celsius berbanding hari biasa.
"Kami sekeluarga sudah dua bulan tidak menggunakan pendingin hawa, kipas pun guna pengaliran udara.
"Kalau mandi pun sekejap sahaja sebab sejuk sampai ke tulang," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Cuaca Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, keadaan itu berlaku ekoran tempias cuaca sejuk melampau dari negara di Hemisfera Utara yang dibawa oleh tiupan angin Monsun Timur Laut.
Angin monsun itu membawa kedinginan dari tanah besar China yang ketika ini sedang mengalami musim sejuk.
"Keadaan litupan awan yang kurang di seluruh Semenanjung Malaysia sepanjang minggu ini turut membantu merendahkan suhu pada waktu malam dan awal pagi," katanya.
Tambah Helmi, cuaca dingin ini dijangka akan berlarutan sehingga awal minggu hadapan berdasarkan keadaan cuaca dan tiupan angin untuk beberapa hari yang akan datang.
"Fenomena ini akan berakhir apabila tiba musim peralihan dengan angin bertiup dari arah Lautan Pasifik," ujarnya.

Related Post



Posting Komentar