Dalam mitos ini, PKR adalah sebuah kerajaan kepunyaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi raja bersama isterinya dan presiden parti, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar digambarkan sebagai sedang memanaskan singgahsana negaranya untuk pengganti pilihannya iaitu 'Puteri Reformasi' Nurul Izzah Anwar.
Mitos yang menggambarkan rungutan berpanjangan terhadap 'feudalism PKR' ini kembali segar pada Khamis lalu dengan berlatar belakangkan berita Nurul Izzah Anwar memfailkan permohonan fasakh ke atas perkahwinannya yang telah menjangkau tempoh 10 tahun.
"Saya tak peduli siapa kahwin siapa. Siapa ada skandal dengan siapa. Siapa curang. Itu bukan urusan saya.
"Saya sedar berita nak cerai berai ini dah lama. Kononnya ada orang ketiga. Saya tak peduli. Pandai-pandai kaulah nak hidup.
"Sebagai anggota KEADILAN (istilah ahli parti untuk PKR) ada satu cita-cita saya. Iaitu agar terlerai mitos Istana Bukit Segambut.
"Untuk survival (kelangsungan) KEADILAN ia mesti keluar daripada pemusatan kuasa dan mitos Bukit Segambut.
"Parti ini tak boleh jadi keluarga Nehru," tulis bekas pembantu Anwar, Eekmal Ahmad dalam satu siri twit yang penuh kontroversi.
Maklum balas secara terus terang sedemikian rupa terhadap krisis peribadi Nurul Izzah mencetuskan perdebatan atas talian yang hangat di antara penggerak-penggerak PKR.
Mereka yang membantah twit tersebut menyifatkannya sebagai kesetian membuta tuli terhadap Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sehingga menjejaskan Anwar dan keluarganya.
Gambaran besar
Peristiwa-peristiwa menjelang berita permohonan cerai Nurul Izzah yang menggemparkan, memberikan gambaran lebih besar yang mungkin akan mencapai kemuncaknya pada pemilihan parti pada April depan.
Sumber dalaman parti berkata jentera kempen mula bekerja dengan berita penyingkiran Azmin dari Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), menandakan persengketaan di antara beliau dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, masih jauh daripada tamat.
Mereka yang berpihak kepada Azmin pantas membelanya dengan mengatakan yang beliau dimangsakan oleh seorang MB "berkuku besi" tetapi, penyokong Khalid pula percaya ia hanyalah satu lagi plot dari kem Azmin untuk merosakkan nama baik Khalid.
Posting Komentar