JDT Hilang Taring

Posted by Semua Berita Ada Disini

Turun dengan deretan pemain berstatus bintang bagaimanapun tidak mampu menghalang Johor Darul Ta'zim (JDT) daripada mengalami kekalahan mengejut 1-0 kepada Terengganu T-Team dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini semalam.
Biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan, namun skuad Harimau Selatan itu sukar menembusi benteng pertahanan tuan rumah yang mempamer semangat juang serta disiplin yang cukup tinggi.
Ketika JDT ghairah mengatur serangan bertali arus, penyerang import dari Indonesia, Patrich Steve Wanggai berjaya mencuri tumpuan apabila menanduk gol tunggal kemenangan pada minit ke-70 untuk memastikan tiga mata penuh diraih T-Team di depan penyokong sendiri.
Kemenangan ini juga menebus kekecewaan anak-anak buah Azraai Khor Abdullah yang sebelum ini tumpas 2-0 kepada Selangor dalam aksi pembukaan Liga Super di Kelana Jaya, minggu lalu.
Separuh masa pertama menyaksikan bola lebih banyak berlegar di tengah padang dengan penguasaan ditunjukkan pasukan pelawat apabila menghasilkan beberapa percubaan berbahaya ke gawang tuan rumah khususnya menerusi gandingan dua awang import mereka, Pablo Aimar dan Liciano Gabriel.

Namun, kekentalan benteng T-Team yang dikepalai kapten, Mohd. Faizal Muhammad menggagalkan hasrat pelawat untuk memburu gol.
Tuan rumah yang sesekali beroleh peluang keemasan juga berpeluang untuk menghasilkan gol namun turut gagal untuk memanfaatkan peluang yang terhidang itu dengan sebaiknya.
Masuk babak kedua, aksi lebih agresif dipamerkan kedua-dua pasukan untuk mencari gol.
Pelawat terlebih dahulu mencemaskan kubu tuan rumah apabila percubaan Gabriel yang menerima umpanan Mohd. Amri Yahyah terkena tiang pada minit ke-61.
Tersentak dengan aksi garang yang ditampilkan anak-anak buah Cesar Fernando Giminez, T-Team kembali memperkemaskan jentera serangannya sebelum Patrich menanduk masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-70 untuk memastikan pelawat pulang hampa.

Related Post



Posting Komentar