Pengerusinya, Mohd Salleh Ismail berkata, road show yang akan diadakan di perkarangan masjid selepas selesai solat Jumaat itu akan memberi pendedahan kepada umat Islam tentang kekeliruan yang bakal tercetus pada masa akan datang sekiranya umat Islam tidak mempertahankan Kalimah ALLAH.
“Tujuan kita adakan road show ini untuk memberi amaran bukan kepada kerajaan sahaja tetapi kepada pelampau-pelampau yang cuba mencetuskan provokasi secara berterusan.
“Kita juga nak beritahu bahawa umat Islam tidak gentar menghadapi sebarang cubaan jahat yang dilakukan pihak tertentu dan kita berharap umat Islam sedar dan bangkit mempertahankan kalimah ALLAH,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan perhimpunan aman di Masjid Jamek Kampung Rawa di sini semalam.
Turut bersama dalam perhimpunan berkenaan beberapa lagi NGO antaranya Persatuan Kebajikan Insan Mulia, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Pertubuhan Dakwah Islamiah (Pekida) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Dalam pada itu Mohd Salleh berkata, pada road show berkenaan pihaknya juga akan mengumpulkan sebanyak mungkin tandatangan umat Islam bagi memohon Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan kuasa mutlaknya berkaitan agama Islam.
Beliau berharap, Majlis Raja-raja Melayu memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan segera agar isu melibatkan agama dapat diselesaikan dengan segera.
“Kita telah hidup aman di negara ini sejak sekian lama. Kita tidak mahu keamanan dan kesejahteraan yang telah lama kita semai bertukar kepada perpecahan disebabkan isu agama yang gagal kita tangani.
“Kita berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas kepada pelampau-pelampau yang cuba menggugat keamanan negara dan kita berharap agama lain dapat menghormati agama Islam serta menghormati Kalimah ALLAH yang semua sedia maklum ia adalah hak eksklusif umat Islam,” katanya.
Posting Komentar