Antara kemahiran teknikal dan nilai komersil, yang mana mampu menjadikan seseorang pemain import itu lebih dipandang sekali gus menjadi daya penarik peminat untuk hadir ke stadium?
Dalam aspek ini, pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dilihat berjaya mengeksploitasi faktor komersial itu dengan jayanya menerusi kehadiran bekas pemain Benfica dari Argentina, Pablo Aimar untuk saingan Liga Super musim 2014.
Ia bagai meneruskan tradisi pasukan itu yang membawa masuk Daniel Guiza - pemain Sepanyol yang turut menjulang trofi Euro 2008 - dilihat mengubah persepsi orang ramai mengenai kemampuan pasukan berkenaan dan akhirnya berjaya menduduki tangga ketiga Liga Super musim lalu.
Pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh menyifatkan apa yang dilakukan JDT sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan kesungguhan dan visi mereka untuk mengubah nasib pasukan meskipun membuat pelaburan yang besar.
“Kehadiran Pablo Aimar benar-benar menarik perhatian peminat bola sepak di Larkin (Stadium Tan Sri Hassan Yunos). Meskipun ia hanya perlawanan persahabatan, belum pernah ia dipenuhi penonton seperti perlawanan terbabit,” katanya.
“Pemain seperti ini bukan saja mempunyai daya tarikan tersendiri, tetapi juga berkaliber.” Jelasnya, apa yang dilakukan JDT juga pernah dilakukan Selangor satu ketika dulu yang membawa masuk Bambang Pamungkas serta Elie Aiboy dan ternyata turut menarik sokongan rakyat Indonesia meskipun situasi berlaku ketika itu sedikit berbeza.
AIMAR (tengah) diasak dua pemain Melaka pada perlawanan persahabatan pramusim di Stadium Larkin.
Justeru, sudah tiba masanya pasukan negeri lain turut mengambil langkah berani untuk mengambil pemain berprofil tinggi demi menarik perhatian penonton dan bukan sekadar ‘tangkap muat’ saja.
“Ini bukan bermakna pemain seperti Marlon Alex James dan Juan Arostegui tidak bermain dengan baik, tetapi apakah pemain import yang dibawa masuk ini mempunyai daya tarikan untuk membawa penonton ke stadium,” katanya.
Posting Komentar