Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, dalam tangkapan pertama, pada kira-kira jam 2.30 petang, sepasukan anggota polis diketuai Inspektor Abang Kaderi Abang Wasli menyerbu sebuah rumah di Jalan Tengah, Kampung Benggali, di sini.
Menurutnya, hasil serbuan dibuat hasil risikan dan maklumat orang ramai itu, polis berjaya menahan dua lelaki dan menjumpai 40 unit meter air bernombor siri, 35 unit meter air tiada nombor siri, 19 unit kepala paip air tembaga dan lima gulung wayar tembaga.
“Semua barangan itu termasuk kedua-dua lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan lanjut,
"Mereka juga didapati positif dadah jenis morfin selepas ujian saringan air kencing dilakukan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Yusuf berkata, berdasarkan tangkapan itu, polis sekali lagi membuat serbuan pada hari sama bagi memberkas seorang lagi rakan kumpulan itu.
Katanya, hasil intipan kira-kira jam 10.30 malam ke sebuah lagi rumah mendatangkan hasil apabila seorang lelaki berada di kediaman berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut dilakukan, polis menemui tujuh unit meter air bernombor siri, tujuh unit meter air tiada nombor siri dan tujuh unit kepala paip air tembaga di rumah berkenaan.
“Setelah disoal siasat, lelaki terbabit mengaku mencuri barangan itu di beberapa kawasan perumahan di sekitar Taiping,” katanya.
Ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 29 hingga 47 tahun itu kini ditahan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ) dan kes disiasat di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara dan denda.
Yusuf berkata, dengan tangkapan itu, pihaknya percaya ia dapat membantu menyelesaikan beberapa kes kecurian meter di daerah ini.
Bagaimanapun katanya, siasatan masih diteruskan bagi mencari dalang sebenar yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak empat bulan lalu.
“Ini adalah antara kejayaan terbesar polis kerana ia sekali gus menyelesaikan banyak kes kecurian meter air yang semakin serius berlaku sejak beberapa bulan lalu,” katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kebimbangan penduduk di kawasan perumahan dan peniaga-peniaga di Taiping yang kehilangan meter air.
Posting Komentar