Sentuhan dua pemain Brazil, Paulo Rangel dan Junior Aparecido membantu Selangor melangkah ke pusingan kedua Piala FA untuk menempah pertemuan menentang Sarawak pada awal bulan depan.
Skuad Merah Kuning kendalian Mehmet Durakovic menewaskan Harimau Muda C, 2-0 dengan Rangel meledak jaringan pada minit ke-52, disusuli Junior pada minit ke-72 dalam pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya petang semalam.
Namun tumpuan sebenarnya adalah menentang juara bertahan Liga Super, LionsXII dengan Durakovic melakukan tujuh pertukaran dalam kesebelasan utama yang menewaskan T-Team, Sabtu lalu termasuk merehatkan kapten pasukan Mohd Bunyamin Omar, Azmi Muslim, S Kunanlan, Abdul Shukor Jusoh, Mohd Farizal Marlias selain meletakkan Junior dan Mohd Fitri Shazwan Raduwan di bangku simpanan.
“Saya mungkin turut melakukan perubahan untuk aksi menentang LionsXII pada Sabtu ini dan perlu melihat proses pemulihan pemain terlebih dulu sebelum membuat keputusan. Saya mahu memberikan peluang kepada semua pemain beraksi dengan situasi jadual perlawanan yang rapat, ia sesuatu tidak dapat dielakkan.
“Aksi menentang LionsXII bukan sesuatu yang mudah terutamanya dengan persaingan yang wujud antara kedua-dua pasukan ini sejak dulu lagi. Mereka bagus terutamanya dengan perlawanan berlangsung di padang rumput tiruan (Stadium Jalan Besar),” katanya.
Pengendali dari Australia itu menurunkan Andik Vermansah buat kali pertama dengan pemain Indonesia itu dilihat masih belum mampu memberikan impak diharapkan namun kehadiran Junior yang masuk menggantikan Andik pada minit ke-59 mengubah corak permainan Selangor yang dilihat kurang tajam dan bertenaga pada babak pertama.
PEMAIN Selangor, A Thamil Arasu (kiri) melepasi pemain Harimau Muda C, Sanjef Dinesh.
Hasilnya Rangel memanfaatkan bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Harimau Muda C, Ahmad Syihan Hazmi susulan sepakan percuma Abdul Hadi Yahya untuk menjaringkan gol ketiganya bersama Merah Kuning selepas dua perlawanan.
Junior kemudiannya melakukan gerakan solo dengan menggelecek beberapa pemain pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan di luar kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Posting Komentar