Paulo Rangel muncul wira Selangor apabila jaringan tunggalnya pada babak kedua memastikan The Red Giants mengutip tiga mata berharga apabila menang 1-0 ke atas juara Piala Malaysia, Pahang di Stadium Petaling Jaya semalam.
Gol itu sudah cukup untuk meletakkan Selangor di anak tangga teratas Liga Super bersama Terengganu, memintas Kelantan yang kalah kepada PKNS 2-1 di Kota Bharu.
Tok Gajah hampir menjaringkan gol seawal minit keenam namun percubaan Matias Conti terkena palang selain berada dalam keadaan ofsaid, manakala Selangor gagal memanfaatkan peluang berharga tiga minit kemudian apabila percubaan Junior Aparecido berjaya dihalang penjaga gol pelawat.
Pahang sekali lagi mencemaskan gawang Selangor menerusi serangan balas, namun tiada pemain skuad Tok Gajah di dalam kotak penalti tuan rumah untuk menyudahkan hantaran R. Gopinathan pada minit ke-29.
Sebaik babak kedua bermula, Selangor hampir memecah kebuntuan, namun percubaan S. Kunalan sekadar melewati palang gol tetapi pada minit ke-55 Rangel tidak membuat kesilapan apabila menanduk tepat hantaran Aparecido.
Penyerang Brazil itu menyifatkan perlawanan tersebut sebagai sesuatu yang sukar tetapi gembira apabila berjaya membantu Selangor untuk mencipta kemenangan.
Saya bekerja keras setiap hari untuk mempamerkan aksi bertenaga dan saya gembira apabila dapat menjaringkan gol hari ini (semalam). Pahang merupakan pasukan yang hebat," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Pengendali Selangor, Mehmet Durakovic berkata, dia berpuas hati dengan prestasi keseluruhan anak-anak buahnya yang beraksi dengan baik pada pertemuan kali ini.
Kami cuba bermain dengan lebih baik tetapi keadaan padang tidak rata menyukarkan pemain untuk beraksi. Junior seharusnya menjaringkan gol tetapi keadaan padang menyebabkan bola kerap melantun.
Kami berhak untuk menang dan saya gembira dengan persembahan keseluruhan pasukan ini kerana mereka mempamerkan aksi bertenaga dan menarik," katanya.
Sementara itu, pengendali Pahang, Roland Smith kecewa dengan kekalahan tersebut, tetapi menyifatkan terdapat peningkatan dari segi persembahan pemain.
Katanya, pada separuh masa pertama pasukannya bermain dengan baik tetapi gagal mengekalkan rentak untuk separuh masa kedua apabila beberapa pemain kehilangan fokus.
Ada satu dua pemain bermain dengan laju pada separuh masa kedua menyebabkan para pemain lain perlu bertindak lebih cepat dan sekiranya gagal kami kehilangan kawalan bola.
Selangor bermain dengan baik pada separuh masa kedua dan berjaya mempertahankan kelebihan gol yang dimiliki. Nasib tidak menyebelahi kami pada perlawanan kali ini," katanya
Posting Komentar