Itu hasrat kelab penyokong Pahang yang pastinya akan turun memberikan sokongan padu kepada skuad Tok Gajah setiap kali beraksi di venue terbabit.
Jurucakap kumpulan yang enggan dikenali memberitahu, mereka berharap penyokong melupakan peristiwa pahit yang berlaku di stadium itu ketika saingan separuh akhir kedua Piala FA 2013 pada 28 Mei tahun lalu yang menyaksikan pertembungan pasukan sama terpaksa dibatalkan kerana kekecohan membabitkan penonton kedua-dua pasukan itu.
“Kami memohon semua peminat Pahang tidak membuat provokasi dan menjaga adab serta tingkah laku pada perlawanan Jumaat ini (esok).
“Kami meminta tiada perkara ataupun gejala negatif yang boleh mencetuskan pergaduhan dan yang lepas, kita lupakan sebaliknya berikan sokongan padu dalam suasana positif di dalam atau pun luar stadium,” katanya.
Sebelum ini,pihak polis menyatakan kawalan keselamatan untuk perlawanan itu ditingkatkan dengan menempatkan 784 anggota bagi perlawanan tersebut yang dianggap sedikit ‘panas” berikutan insiden yang pernah berlaku pada tahun lalu.
Sementara itu, tiket perlawanan akan mula dijual bermula jam 10 pagi hari ini di Stadium Darul Makmur dan Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dengan had empat keping seorang.
Sebanyak 31,000 keping tiket diperuntukkan akan dijual untuk perlawanan itu yang bakal menjadi tumpuan hangat untuk penyokong khususnya pasukan tuan rumah yang ingin mencari misi tiga mata di gelanggang sendiri.
Di TEMERLOH, sebanyak 6,000 tiket aksi Liga Super membabitkan perlawanan Pahang menentang JDT akan dijual di Stadium Temerloh bermula jam 10 pagi ini.
Jurucakap Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) berkata, tiket berharga RM12 dan RM15 akan dijual bagi memudahkan peminat dari Temerloh, Bera, Jerantut, Bentong, Lipis dan Maran menyaksikan perlawanan tersebut.
Menurutnya, peminat di kawasan berhampiran boleh mendapatkan tiket itu sehari lebih awal dari hari perlawanan pada Jumaat untuk memudahkan pergerakan mereka.
“Saya harap peminat akan mengambil peluang membeli tiket yang disediakan PBNP ini dan dapat mematuhi peraturan ditetapkan FAM dan PBNP dengan menjaga tingkah laku semasa menyaksikan perlawanan itu nanti.
“Kaunter dibuka jam 10 pagi ini dan hanya ditutup selepas semua tiket dijual, harap orang ramai mengambil peluang ini sebaik mungkin,” katanya.
Posting Komentar