Niatnya mengadakan majlis kenduri doa selamat bukanlah untuk bermegah dan menunjuk-nunjuk rumahnya yang cantik dan mahal kepada masyarakat. Tidak terlintas pun di fikirannya untuk berbuat demikian.
Sebaliknya, penerbit dan pelakon Zaidah Awang atau lebih dikenali sebagai A Aida berbuat demikian bertujuan memanjatkan kesyukuran terhadap Allah SWT serta mahu meraikan rakan dalam industri hiburan dan media yang menyokong perjuangannya dari dulu hingga sekarang.
“Saya sering ingat jasa rakan pelakon yang banyak membantu dan terbabit dengan produksi saya sejak awal. Itulah sebabnya saya utamakan mereka untuk berlakon dengan saya. Begitu juga dengan rakan media yang sering memberi publisiti kepada saya.
“Tanpa kerjasama baik semua pihak, saya takkan mampu capai tahap ini,” katanya yang merahsiakan harga rumahnya itu.
“Tanpa kerjasama baik semua pihak, saya takkan mampu capai tahap ini,” katanya yang merahsiakan harga rumahnya itu.
Siapa sangka bermula dengan sebuah produksi kecil, penerbit berusia 44 tahun ini mengorak langkah dengan menghasilkan produk demi produk.
Dia kini mampu berbangga kerana A Aida Production tersenarai sebagai antara syarikat produksi yang aktif menghasilkan drama.
Ada antara drama terbitannya seperti Halimah Jongang pernah menjadi sebutan ramai dan mencetuskan kontroversi.
“Syukur kerana dapat memiliki rumah idaman ini yang dinamakan D’Salsavilla. Saya beli rumah ini kerana nak berusaha ke arah hidup baru.
“Anak nak bilik sendiri. Jadi, saya terfikir perlu cari kediaman yang lebih sesuai. Pemandangan sekitar rumah ini yang cantik juga antara faktor saya membelinya. Proses ubah suai pun dibuat mengikut cita rasa saya sendiri dan memang saya gembira apabila dapat mendudukinya,” katanya kepada RAP.
Aida berkata, syarikatnya kini semakin stabil dan tidak pernah putus menerima tawaran.
Apabila mendapati wang sudah mencukupi, dia nekad untuk memiliki kediaman baru untuk didiami bersama tiga anaknya iaitu Wan Az Aleesa, 18, Wan Azevanatassha, 13, dan Muhammad Rahul, 6.
“Dua tahun lalu saya memang bekerja keras buat pelbagai program untuk stesen TV. Kalau diikutkan, kos yang dikeluarkan memang sudah melebihi bajet sebenar. Namun saya tetap cekalkan hati untuk beli juga rumah. Alhamdulillah, saya kini tak bergantung kepada drama semata-mata kerana ada juga bisnes lain.
“Saya ada 10 van yang disewakan untuk syarikat produksi bagi penggambaran drama. Selain itu, saya juga ada lima peralatan penggambaran yang digunakan untuk produksi sendiri dan disewakan. Ini turut menjana pendapatan buat saya. Kawan penerbit lain bagi sokongan dengan menyewa peralatan yang saya ada.
“Buat masa ini, saya selesa buat drama dan program TV dulu dan tak bercadang hasilkan filem. Dulu ada pihak yang nak bagi dana untuk terbitkan filem Halimah Jongang, namun saya menolak kerana tak yakin dengan pasaran filem sekarang,” katanya yang sanggup berbelanja besar bagi memastikan produknya berkualiti.
Ditanya persoalan pasangan hidup, Aida serta-merta memberitahu enggan memikirkan perkara itu kerana fokusnya sekarang adalah pada kerja dan membesarkan anaknya dengan sempurna.
“Saya nak bersendirian dulu. Bukanlah kecewa dengan lelaki, tapi buat masa ini biarlah dulu. Anak bongsu saya masih rapat dengan saya. Jadi bagaimana saya nak berkahwin lain. Lagipun saya gembira dengan kehidupan sekarang.
“Banyak masa saya dihabiskan untuk tulis skrip bagi syarikat sendiri. Ada juga tawaran berlakon yang datang tapi saya tak nak dikatakan tamak dan membebankan fikiran dengan banyak perkara,” katanya yang kini sibuk menulis skrip baru.
Posting Komentar