Sejak penganjuran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2009, nama Didie Alias tidak pernah tercicir daripada senarai calon Top 5 kategori Artis Komedi Wanita Popular. Bahkan dalam dua edisi terakhir anugerah berprestij itu, wanita ini berjaya menjulang trofi kategori terbabit.
Bagi edisi ke-27 anugerah hiburan pilihan peminat yang paling lama bertahan di negara ini, Didie sekali lagi dicalonkan dalam kategori komedi bersama Jihan, Noorkhiriah, Sharifah Shahira dan Siti Chubby.
Pelakon yang turut bergelar pengacara ini, yang sememangnya dikenali antara artis paling komited dalam siri jelajah ABPBH berkata, ada keistimewaan dalam pencalonan akhir kali ini, kerana ia bagaikan rezeki berganda buatnya.
Masakan tidak, Didie, 42 menerima berita gembira itu bersama ‘orang baru’ yang kini berusia kira-kira empat bulan dalam kandungannya.
“Syukur, inilah rezeki Allah dan saya sangat terharu kerana masih diterima peminat serta mendapat sokongan mereka,” katanya.
Ingin sertai kempen, aktiviti
Meskipun berbadan dua, janji Didie, beliau tetap akan berusaha memberikan komitmen dalam kempen dan aktiviti diadakan penganjur, sehinggalah ke malam kemuncak ABPBH 2013 pada 6 April depan di Arena of Stars, Genting Highlands.
“Doakan saya sihat. Setakat ini semuanya baik-baik saja, cuma awal-awal dulu ada sikit mual, maklumlah sudah lama saya tidak mengandung.
“Kalau kesihatan mengizinkan, saya tetap akan menyertai aktiviti yang dianjurkan. Saya juga turut tertarik dengan tema Magis Alam kali ini kerana ia unik dan lain daripada yang lain,” kata pemilik nama sebenar Fadzilah Mohammad Ali ini.
Beliau juga begitu teruja untuk kembali menawan puncak Genting Highlands, selepas ABPBH edisi lalu diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil.
Menurut Didie, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada peminat untuk menentukan nasibnya, terutama kepada kelab peminat Lady Didie Lovers yang sudah mencapai lebih 10,000 ahli.
Bagi dirinya, tema dan pendekatan kali ini sangat bermakna dalam usaha bersama mengajak peminat lebih menghargai alam sekitar dan bersama mengurangkan pencemaran.
Bersiap tempah baju
Selebriti ini juga antara bintang paling berani berfesyen setiap kali tampil pada malam kemuncak ABPBH. Malah, bagi penganjuran kali ini, beliau sudah mempunyai beberapa idea awal mengenai busana akan digayakan.
“Apabila menyebut Magis Alam, ia membabitkan banyak elemen seperti air, udara, api dan angin. Jadi semua itu akan diteliti dan satu konsep akan dibuat bagi menyesuaikan dengan tema ditetapkan,” katanya yang mendapat jolokan Lady Gaga Malaysia.
Antara penampilan Didie yang mendapat perhatian umum ialah replika trofi di atas kepalanya dan fesyen rambut berbongkah besar.
Posting Komentar