Harian metro1 Online
Gadis berusia 15 tahun mengaku dirogol selepas mengadu sakit kemaluan
KUCHING – Seorang gadis mengaku dirogol lelaki yang baharu dikenalinya sejak seminggu lalu selepas mengalami kesakitan pada alat sulitnya.
Difahamkan, mangsa yang baharu berusia 15 tahun dan berasal dari Petra Jaya mengadu perkara tersebut kepada guru kaunseling di sekolahnya ekoran tidak tahan dengan kesakitan yang dialaminya.
Menurut sumber, mangsa mengaku telah dirogol oleh seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Amirzul dipercayai berusia 19 tahun melalui seorang daripada rakannya.
“Lelaki (suspek) telah mengambil mangsa di rumahnya sekitar jam 4.30 petang Rabu lepas dengan menaiki sebuah motosikal.
“Mangsa kemudian dibawa oleh lelaki terbabit ke dalam hutan berdekatan dan memaksa mangsa melakukan hubungan seks dengannya sebelum dihantar pulang selepas itu,” katanya.
Keluarga mangsa pada mulanya tidak mengetahui insiden tersebut kerana mangsa takut untuk menceritakannya sehingga diberitahu oleh guru kaunseling iaitu sehari selepas kejadian.
Mangsa kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk melaporkan mengenai perkara tersebut.
Ketua Polis daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad semasa dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan memberitahu pihaknya masih menjalankan siasatan.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menjalani pemeriksaan sementara siasatan polis masih diteruskan,” katanya, lapor Utusan Borneo.* Gambar Hiasan
Posting Komentar