MEMPUNYAI tubuh besar dan berat badan mencapai tahap obesiti menjadi igauan ngeri buat Sissi Zhong, 26. Sejak bertahun lamanya, dia mencuba pelbagai kaedah menguruskan badan dan memasuki pusat senaman dengan bayaran tinggi.
Mengimbas cara pemakanannya sewaktu kecil, setiausaha di sebuah syarikat korporat di Shanghai, China itu memberitahu, berat badannya naik mendadak akibat gemar meminum minuman ringan yang dipanggil Jianlibao.
"Setiap kali bapa saya balik dari urusan kerja di luar wilayah, dia sering membawa balik minuman tersebut. Saya akan meminum empat hingga lima tin dalam masa sehari menyebabkan berat naik 64 kilogram ketika berusia 18 tahun," ujarnya dalam satu temu bual bersama media antarabangsa.
Perkembangan dan kemajuan China mengubah struktur ekonomi negara dengan populasi 1.3 bilion tersebut. Dalam kepesatan pembangunan pencakar langit, wujud variasi premis makanan-makanan ringan antarabangsa seperti McDonald's, KFC, Pizza Hut dan TGI Friday.
Dicatatkan, terdapat 3,700 cawangan KFC di bandar-bandar utama, tin-tin minuman mudah didapati di kedai-kedai serbaguna dan kepingan piza menjadi hidangan ringan pada waktu malam. Ia tidak termasuk jumlah makanan ringan buatan tempatan yang membanjiri pasaran.
Situasi itu menyebabkan 38.5 peratus penduduk mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti pada tahun 2010. Ia mencanak naik berbanding peratusan pada tahun 2002 iaitu sebanyak 25 peratus. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), dijangkakan 50 hingga 57 peratus penduduk China akan mengalami obesiti pada tahun 2015.
Tradisi konservatif
Ia juga berkait rapat dengan tradisi konservatif sebilangan penduduk China yang melarang anak-anak mereka tidak menghabiskan lebihan makanan.
"Ibu bapa saya selalu mengingatkan ramai penduduk di luar sana yang tidak mempunyai makanan untuk mengalas perut. Tiada sebab mengapa perlu saya membazir makanan," ujar Zhong. Disebabkan itu, dia tetap mengosongkan pinggan walaupun perut sudah melebihi kapisiti muatan.
Masih segar dalam ingatan kebanyakan warga emas di China yang hidup antara tahun 1958 hingga 1961 apabila hampir 45 juta penduduk negara tembok besar itu mati akibat kelaparan dan penyakit berkait rapat dengan masalah kekurangan nutrisi.
Selama tempoh itu, rakyat hidup dalam kemelaratan dengan sumber makanan yang terhad dan tidak dapat menampung jumlah penduduk yang ramai. Situasi genting itu berkait rapat dengan masalah kemarau, cuaca buruk dan dasar-dasar yang dikeluarkan oleh Parti Komunis China, pemerintah republik tersebut sehingga hari ini.
Obesiti tidak hanya membelenggu republik pimpinan Xi Jinping itu kerana hampir kebanyakan negara-negara membangun berdepan dengan masalah sama.
Institut Perkembangan Luar Negara London (ODI) dalam laporannya, Future Diet mencatatkan peningkatan peratusan penduduk dunia yang mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti. Majoriti pertambahan itu dicatatkan di negara-negara seperti di Mesir, Mexico dan Afrika Selatan.
Sebanyak 904 juta penduduk negara membangun dikelaskan sebagai berat badan berlebihan dan ke atas dengan Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 25 berbanding negara berpendapatan tinggi iaitu seramai 557 juta. Jumlah tersebut meningkat daripada 250 juta pada tahun 1980. Pertambahan ketara juga dilihat di negara-negara Asia Tenggara dengan perubahan peratusan daripada tujuh peratus kepada 22 peratus.
"Peningkatan jumlah penduduk dengan berat badan berlebihan dan obesiti di beberapa negara membangunkan adalah sangat membimbangkan," ujar salah seorang pengkaji ODI, Steve Wiggins.
Penyakit
Dia menambah, trend baharu itu juga membawa kepada peningkatan jumlah pesakit untuk beberapa penyakit berkaitan seperti kanser, diabetes, strok dan serangan jantung. Ia menyebabkan sistem kesihatan orang awam turut terganggu.
Perkara itu didorong oleh perubahan diet dan penukaran jenis makanan asas oleh kebanyakan penduduk di negara membangun. Jika sebelum ini, bijiran dan gandum menjadi makanan asasi, mereka kini lebih gemar mengambil lebih lemak, gula, minyak dan produk-produk berasaskan daging haiwan.
"Penduduk yang mempunyai pendapatan tinggi boleh memilih untuk jenis makanan yang mereka mahukan. Perubahan gaya hidup, perkembangan industri pemprosesan makanan, pengiklanan dan pengaruh media menjadi faktor tambahan kepada masalah obesiti," kata Wiggins yang turut menjadi penulis bersama laporan tersebut.
Ujarnya lagi, perubahan ekonomi membawa kebanyakan penduduk kelas pertengahan negara membangun untuk tinggal di kawasan bandar dan jarang melakukan senaman fizikal. Hasilnya, jumlah obesiti meningkat jika dibandingkan tiga dekad lalu.
Di Afrika Selatan, peratusan besar penduduk negara itu berdepan dengan masalah obesiti yang tinggi. Kebanyakan pesakit merupakan golongan muda lingkungan umur 20-an yang mengalami penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Tinjauan Pemeriksaan dan Nutrisi Kesihatan Kebangsaan Afrika Selatan mendapati, masalah obesiti lebih tinggi dihadapi oleh kaum wanita dengan catatan 60 peratus.
Masalah sama turut berlaku di Indonesia menerusi data yang dikeluarkan oleh Kajian Kesihatan Asas (Riskesdas) 2010. Dicatatkan 21.7 peratus penduduk mempunyai BMI melebihi 27 bagi pesakit berumur 18 tahun ke atas dan peningkatan 14 peratus daripada 11 peratus untuk pesakit di bawah umur lima tahun.
Dalam pada itu, kadar obesiti dalam negara meningkat kepada 15 peratus pada tahun 2011 berbanding 14 peratus untuk tahun 2006. Ia berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan terhadap golongan dewasa dengan peratusan obesiti, hipertensi dan diabetes semakin ketara setiap tahun.
Pusat kesihatan
Perkembangan tidak sihat itu perlu dipandang serius oleh pihak berwajib. Wiggins mencadangkan lebih banyak pusat kesihatan awam khusus untuk pesakit obesiti, sama seperti pusat pemulihan rokok di beberapa negara.
"Pada masa sama, pihak kerajaan juga perlu lebih tegas dalam menggesa penduduk untuk lebih prihatin terhadap nutrisi makanan yang diambil," jelasnya.
Pensyarah dari Institusi Kebersihan dan Perubatan Tropika London, England itu berpendapat, arus pemodenan di beberapa bahagian dunia telah mengubah tabiat pemakanan dengan meninggalkan cara tradisional yang lebih sihat dan ideal.
"Dalam kita memberi bantuan kepada penduduk dunia yang berada dalam kebuluran dan kedaifan, kita juga perlu memikirkan kesan jika bantuan tersebut mengandungi kalori berlebihan dan penggunaan bahan mentah secara berlebihan," ujarnya.
Laporan Future Diet itu juga menggalakkan penduduk dunia untuk mengikuti cara pemakanan yang diamalkan oleh masyarakat Korea Selatan. Negara itu masih menggunakan bahan asli dan ramuan tradisional dalam makanan seharian mereka.
Posting Komentar