PAS Selangor memberi kata dua kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya kontroversi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak dikaitkan dengan konflik dalaman parti itu berhubung kedudukan Menteri Besar.
Setiausahanya, Mohd Khairuddin Otman berkata, PAS akan menuntut hak mereka sekiranya kekosongan berkenaan bakal membawa kepada pertukaran Menteri Besar kerana parti itu mempunyai jumlah kerusi yang melebihi PKR dan DUN Selangor.
"Sekiranya berlaku kekosongan pada jawatan Menteri Besar, maka PAS Selangor akan mengambil bahagian dalam menentukan siapa calon yang akan diterima oleh rakyat.
"PAS Selangor akan turut menghantar senarai calon Menteri Besar yang dirasakan layak dan sesuai. Ini termasuk menamakan Pesuruhjaya PAS Selangor (Dr Abdul Rani Osman) sebagai calon utama kita. Mengapa kita hantar calon kita?
Kerana kita juga memiliki kerusi terbanyak dalam DUN," katanya pada Selasa.Kerusi DUN Kajang dikosongkan oleh Lee Chin Cheh dari PKR dengan meletakkan jawatan pada Isnin secata tiba-tiba selepas memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum Mei lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.
Berikutan itu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon bertanding di kerusi tersebut pada pilihan raya yang akan diadakan dalam masa 60 hari.
Pada PRU-13, PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi DUN manakala PKR 14.
Mengulas lanjut Mohd Khairuddin yang juga Adun Paya Jaras bagaimanapun berkata, PAS Selangor menganggap kekosongan kerusi DUN Kajang adalah isu dalaman PKR tanpa melibatkan kedudukan jawatan Menteri Besar yang disandang Abdul Khalid sejak 2008.
"Apa saja keputusan PKR untuk mengosongkan kerusi Adun atau menentukan siapa calon, adalah hak PKR untuk menentukannya dan PAS Selangor tidak akan masuk campur.
"Selagi isu jawatan Menteri Besar Selangor tidak dikaitkan, maka PAS hanya menjadi pemerhati sahaja," katanya.
Posting Komentar