Peluang Philippe Troussier membimbing skuad Harimau Malaya semakin cerah

Posted by Semua Berita Ada Disini

Peluang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melantik jurulatih berbangsa Perancis, Philippe Troussier untuk membimbing skuad Harimau Malaya tampak semakin cerah apabila beliau dilaporkan menolak tawaran pasukan dari Afrika dan bakal mengadakan rundingan dengan pegawai tertinggi FAM di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

 Menerusi beberapa laporan di laman web sukan Perancis antaranya www.lequipe.fr pada Selasa lalu menyatakan bekas jurulatih skuad Piala Dunia Jepun 2002 itu dijangka menandatangani kontrak bersama FAM sekiranya rundingan kali ketiga itu berjaya. “Troussier kini berada di Kuala Lumpur untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai tertinggi FAM.

Beliau dijangka akan diumumkan sebagai jurulatih baru Malaysia,” menurut laporan yang dipetik daripada laman web itu. Sebelum ini jurulatih berusia 58 tahun itu turut dikaitkan dengan Tunisia, namun laporan laman web www.africatopsports.com mendakwa pasukan dari benua Afrika itu boleh melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Troussier kerana beliau dikatakan lebih berminat dengan Malaysia. Selain Tunisia,

Troussier yang memiliki reputasi hebat di Afrika apabila pernah membimbing skuad kebangsaan Ivory Coast, Nigeria, Burkina Faso, Afrika Selatan, Jepun, Qatar dan Maghribi dilaporkan turut mendapat tawaran dua kelab dari Jepun. Troussier menjadi calon pilihan FAM selepas mendapat nasihat daripada Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) dan pegawai FAM sudah mengadakan perbincangan awal dengan jurulatih itu di China pada pertengahan tahun dan di Singapura, November lalu. Menurut sumber rapat FAM, badan induk itu bersedia menawarkan kontrak lumayan tiga tahun kepada Troussier kerana mereka menganggap sudah tiba masanya untuk melantik jurulatih berkelas dunia.

 “Kualiti pasukan kebangsaan menampakkan peningkatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan FAM berasa perlu untuk melantik jurulatih bertaraf dunia walaupun ia memerlukan perbelanjaan besar,” katanya. Jurulatih kelahiran Paris itu kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas menamatkan kontrak bersama kelab China, Shenzhen Ruby pada 5 November lalu. Difahamkan jika bersetuju, Troussier bakal menerima gaji AS$1.52 juta (RM4.9 juta) setahun.

Selain Troussier beberapa nama lain turut dikaitkan untuk menggantikan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu, antaranya bekas jurulatih Liverpool Alez Miller, bekas pemain skuad juara Piala Dunia 1998 Perancis Marcel Desailly dan bekas jurulatih China dan Uzbekistan Bob Houghton. Buat masa ini skuad kebangsaan dikendalikan jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee buat sementara waktu dengan aksi pertama skuad kebangsaan tahun ini menerusi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Filipina pada 1 Mac nanti bakal menampilkan jurulatih baru.

Related Post



Posting Komentar