Menurutnya, sistem pembelajaran hari ini mendesak ulama dan golongan pendidik sepertinya menyediakan pengajaran ilmu khususnya agama Islam mengikut perkembangan semasa agar ia mudah difahami dan dipraktikkan oleh masyarakat secara berkesan.
Fauwaz berkata, ancaman pengaruh barat menerusi dunia tanpa sempadan mendesak umat Islam melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan bagi membentengi penjajahan baharu yang boleh menjejaskan akidah umat Islam hari ini.
"Kalau kita lihat sistem penjajahan, masuk ke negara Islam bermula dengan ilmu, buka sekolah dan institusi pengajian, sebab itu mereka banyak sekolah Inggeris untuk memasukkan pemikiran mereka.
"Sebab itu kita tidak boleh lawan dengan cara lain, kita juga kena lawan dengan ilmu," katanya kepada Sinar Harian Online selepas menyampaikan siri pengajian kitab Rumah Ngaji anjuran Kumpulan Media Karangkraf, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan yang dianjurkan Islam, majlis agama seperti Rumah Ngaji ini juga cuba memupuk pemikiran masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dan membudayakan pemikiran ilmu dalam anggota masyarakat.
Tambahnya, pembudayaan majlis ilmu itu juga sebagai salah satu kaedah untuk mengembalikan Islam kepada jalan yang betul di negara ini.
"Sebab itu Islam mementingkan kebudayaan dan ia bermula dari majlis ilmu.
"Saya yakin setiap orang bertanggungjawab terhadap masyarakatnya sendiri.
"Kumpulan dakwah pula perlu merangka program mesra masyarakat berteraskan Islam dengan ilmu yang sesuai dengan akal setiap kawasan," katanya lagi.
Program Rumah Ngaji diadakan setiap dua minggu sekali dengan mengupas beberapa kitab ulama tersohor dunia, Prof. Dr. Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi.
Antara kitab tersebut ialah Kitab Wasatiyyah fi Al-Islam, Kitab Fiqh Al-Jihad dan Kitab Fatwa Kontemporari.
Posting Komentar