Keupayaan T-Team mencalar ego pasukan bintang Johor Darul Takzim (DT) malam kelmarin menyuntik semangat barisan Azraai Khor Abdullah untuk menewaskan Terengganu pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.
Malah bukan itu saja, corak permainan skuad itu yang sebelum ini dikritik hebat selepas prestasi hambar ketika bertemu Selangor dan UiTM, kini dilihat semakin ampuh sebagai mana yang diperagakan ketika menumbang Johor DT 1-0 hasil jaringan pemain import dari Indonesia Patrich Steev Wanggai m-71.
Bekas jurulatih Perak musim lalu itu tanpa berselindung mengaku berasa gembira dengan peningkatan yang dipamerkan pemainnya yang sudah menemui rentak berdasarkan aksi yang diperagakan pemain malam kelmarin.
“Sudah tentu saya amat gembira kejayaan T-Team yang beraksi dengan baik walaupun beberapa peluang yang dimiliki pemain gagal direalisasikan dengan jaringan selain umpanan yang kurang menyerlah serta ada pemain tidak berfungsi dengan baik.
“Apapun kemenangan itu begitu berharga kerana hasil usaha keras semua pemain termasuk kecemerlangan penjaga gol Mohd Shahril membantu T-Team meraih tiga mata pertama meskipun kita hanya menyasarkan satu mata dalam pertemuan yang penuh dramatik menentang pasukan hebat itu,” katanya yang mengharapkan pemainnya tidak besar kepala atas kejayaan itu.
Bagaimanapun, pengendali itu belum mahu mendabik dada atas kejayaan itu sebaliknya mengharapkan pemainnya terus meningkatkan prestasi terutama menjelang pertemuan dengan Terengganu malam esok yang juga dibarisi ramai pemain berkualiti pada setiap posisi.
Posting Komentar