Bagaimanapun itu kisah tahun lalu. Akui Lana dia sudah melupakan perkara yang sudah berlalu dan menjalani kehidupan seperti biasa.
Ternyata, biarpun dilukakan lelaki, namun, pelakon ini tidak memberikan persepsi negatif terhadap golongan lelaki.
Bahkan baginya, itu semua ketentuan tuhan dan dia hanya pasrah kepada hakikat percintaannya yang putus di tengah jalan.
Bagaimanapun anak kelahiran Kuching, Sarawak ini hanya tersenyum sahaja ketika ditanya mengenai hubungan percintaannya kini.
Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan Nordin, mengakui timbul perasaan serik, namun dia tidak mudah menghakimi lelaki atau terus menutup pintu hatinya buat kaum Adam.
Lana yang kini tampak sangat bahagia dan lebih tenang mengakui hatinya kini sudah sedia menerima kehadiran lelaki sebagai peneman hidupnya.
“Ada yang mendekati saya, tapi saya masih berkawan saja dengan mereka. Insya-ALLAH, sampai di Makkah nanti saya akan berdoa agar diberikan petunjuk.
“Sebab sekarang ni saya tak tahu nak pilih mana satu,” katanya yang mengakui tiga lelaki itu mahu menjalinkan hubungan serius dengannya.
Menurut Lana, kini umurnya sudah mencecah 35 tahun dan mengakui tidak ada masa menjalinkan hubungan cinta yang panjang.
Lana berkata, dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan sesiapa yang serius ingin melamar dan menjadikannya sebagai isteri.
“Kalau ada jodoh saya nak terus kahwin. Bercinta selepas kahwin pun boleh,” katanya.
Enggan mengulas lanjut mengenai tiga jejaka itu, Lana mengakui lelaki tersebut bukan dalam kalangan doktor seperti yang digosipkan dengannya baru-baru ini. Malah, menurut aktres seksi ini, ketiga mereka juga bukanlah orang dalam lapangan seni.
"Nanti kalau sudah betul-betul ada jodoh, saya akan beritahu,” katanya.
Bakal tunai Umrah
Dalam pada itu, Lana turut berkongsi keterujaannya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Haram hujung bulan ini.
Lana yang bakal menunaikan Umrah dengan teman seangkatannya, pelakon Lisdawati, mengharapkan kelancaran perjalanannya untuk melakukan ibadah itu dan meminta semua peminat dan masyarakat mendoakan perjalanannya.
“Insya-ALLAH, saya akan tunaikan umrah pada 28 Februari ini. Sekarang ni tengah tunggu visa Umrah lulus saja,” katanya.
Menurutnya, sejak dua tahun lalu, dia menyimpan niat untuk ke Mekah. Namun hanya kini Allah memakbulkan doanya.
"Baru tahun ni saya dapat menunaikan hasrat itu. Saya rasa seronok nak pergi buat ibadah umrah. Syukur, saya juga banyak dapat tunjuk ajar daripada Lisdawati. Seminggu sebelum ke sana saya nak banyakkan menghafal doa-doa makbul di sana.
“Macam Lisda dah banyak kali pergi, jadi saya banyak bertanya pada dia. Lisda juga selalu ajak saya pergi usrah bersama supaya saya dapat memperbaiki diri,” katanya yang berkongsi serba sedikit mengenai persiapannya ke Makkah, di malam Anugerah Meletop, Sabtu lalu.
Di tebak dengan penampilannya sekembalinya menunaikan umrah, Lana berkata, dia hanya berserah kepada ALLAH SWT.
“Dari segi penampilan mungkin tidak terlalu drastik dan saya akan cuba memperbaikinya secara perlahan-lahan. Saya tetap jadi diri saya. Seandainya dibukakan hati untuk berhijab satu hari nanti, Insya-ALLAH,” katanya.
Punca perpisahan Adira?
Sementara itu, baharu sahaja reda dengan cerita kontroversi, nama Lana sekali lagi dikaitkan dengan gosip panas apabila aktres ini dikatakan menjadi punca perpisahan Adira dengan teman lelakinya.
Di tebak dengan perkara itu, Lana menegaskan dia tidak mengenali kekasih Adira, Shahrul Nasrun Kamarudin yang merupakan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia itu.
“Saya tak kenal pun siapa dia. Saya dan Adira pernah berjumpa, tapi, saya tak kenal pun teman lelakinya. Bagaimana saya nak menjalinkan hubungan, sedangkan saya tak kenal?
“Saya pun hairan bagaimana gosip ni boleh timbul sedangkan saya tak tahu pun Adira bercinta dengan siapa. Mungkin orang cuba kaitkan nama saya kerana berita itu berpunca dari artis kontroversi. Jadi, siapa lagi yang ratu kontroversi kalau bukan saya?,” katanya yang menafikan dakwaan itu.
Dia meminta supaya semua orang tidak menyalahkannya sekali gus menutup cerita bahawa dia pemisah hubungan antara Adira dan bekas kekasihnya itu.
Rezeki murah
Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Lana berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Kata Hati dan bakal menjalani penggambaran bagi dua telefilem terbaru.
Menurutnya, selain sibuk menjalani penggambaran, dia turut menerima tawaran menjadi model bagi produk kesihatan.
Lana berkata, dia juga mengharapkan selepas pulang menunaikan umrah, apa sahaja peluang yang datang, dia akan menerimanya.
Selain itu, di tebak mengenai watak yang diidamkan Lana, bintang Chow Kit Road ini mengimpikan watak wanita bertudung.
Ini kerana, dia sering kali menerima watak yang sama seperti watak penggoda dan wanita seksi.
"Saya mahu peminat menilai sisi berbeza yang bakal saya bawa selepas ini," katanya yang mahu mempelbagaikan watak.
Posting Komentar