PENULISAN dakwah merupakan aktiviti penyampaian maklumat tentang Islam bagi mengajak manusia ke arah kebaikan dan memberi peringatan kepada mereka.
Selain berkongsi maklumat, pendekatan seperti ini juga bertujuan mentarbiah jiwa pembaca supaya terkesan untuk mencintai Allah SWT, patuh dan tunduk dengan suruhan-Nya.
Itulah gaya penulisan pilihan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, 53, dalam 20 buah buku karyanya. Antara bukunya yang popular termasuklah Mukmin Profesional, Semuanya Soal Hati dan Beduk Diketuk.
Walaupun berkelulusan dalam bidang teknologi makanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), namun selepas tamat pengajian pada tahun 1988, beliau telah bergiat aktif dalam bidang penulisan khususnya dalam penulisan dakwah dan pendidikan Islam.
Sejak itu, minatnya dalam bidang penulisan diteruskan dengan menjadi kolumnis kepada beberapa buah majalah terbitan tempatan seperti Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Falsafah, Minda, majalah I dan Anis.
Selepas 26 tahun bergelumang dalam bidang penulisan, kini beliau merupakan Ketua Pengarang di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. (Telaga Biru) merangkap Ketua Editor Majalah Solusi.
Walaupun pernah menjawat jawatan kaunselor di Yayasan Nurul Yaqeen pada tahun 1997 dan 1998, namun disebabkan minatnya yang mendalam dalam bidang penulisan Pahrol sanggup melepaskan jawatan tersebut.
Menurut anak kelahiran Ipoh, Perak itu, minatnya dalam bidang penulisan timbul daripada hobi membaca karya-karya penulisan Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) dan kitab Ihya Ulumuddin hasil karya tokoh ilmuwan Islam, Imam al-Ghazali sejak di bangku sekolah.
Namun, minatnya terhadap penulisan dakwah timbul hasil penglibatan dalam bidang dakwah.
"Saya dapati berdakwah secara lisan sudah ramai yang melakukannya, namun dakwah melalui penulisan artikel atau buku-buku masih kurang," katanya ketika ditemu bual di pejabatnya baru-baru ini.
Cerita-cerita santai
Beliau berpendapat, penulisan boleh dianggap sebagai pendakwah, pendidik dan pemimpin yang paling baik kepada masyarakat secara tidak rasmi.
Sementara itu, mengulas mengenai salah satu buku terbaharunya yang berjudul, Angguk Geleng yang diterbitkan oleh Telaga Biru pada bulan April tahun lalu, setakat ini buku setebal 258 muka surat itu telah terjual hampir 15,000 naskhah.
Buku berharga RM22 itu menghimpunkan 115 cerita santai yang mengandungi pengajaran dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat.
Katanya, manusia yang lalai tidak suka digesa atau dipaksa untuk melakukan kebaikan secara mengejut, sebaliknya mereka suka dipujuk, dibelai dan diajak ke arah positif dengan kasih sayang.
"Melalui buku ini, pembaca diajak ke arah kebaikan secara tidak sedar melalui pemikiran dan emosi yang tidak diundang hasil cerita-cerita yang terdapat dalam buku ini," jelasnya.
Menurut Pahrol, buku tersebut diilhamkan daripada gerakan kepala yang mengangguk dan menggeleng, namun pada masa yang sama fikiran dan hati turut tunduk mengiya atau berpaling daripada jalan kebenaran.
Terkini, beliau giat menyiapkan tiga buah buku dakwah untuk dilancarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang dijangka berlangsung pada bulan April ini.
Posting Komentar