Anwar Ibrahim dihukum penjara lima tahun

Posted by Semua Berita Ada Disini

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan hukuman itu ditangguhkan sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai. 
Mahkamah membenarkan Anwar menangguhkan bayaran jaminan sebanyak RM10,000 sehingga jam 11 pagi, Isnin depan.

Keputusan terhadap hukuman itu dibuat secara sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Balia Yusof Wahi.

Turut bersidang bersama ialah hakim Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Bukit Damansara antara jam 3.10 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

'Sabitan untuk pastikan saya tak bertanding'


Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim hari ini berkata sabitan terhadapnya hari ini adalah untuk memastikan beliau tidak boleh bertanding di Kajang.

Katanya, yang cukup menariknya ialah pendakwa yang dilantik kerajaan, Datuk Muhammad Shafee Abdullah membuat rujukan khas kepada Kajang dalam mitigasi.

"Peguam saya telah diminta mengosongkan tarikh 7-10 April, dan tarikh-tarikh ini telah dibawa ke hadapan kerana ini (Kajang)," katanya.

"Karpal mempunyai perbicaraan kes bunuh pada hari Khamis dan dia telah diminta mengosongkan tarikh itu untuk perbicaraan ini," katanya.

Ditanya apa yang akan berlaku kepada Kajang tanpanya, ahli politik yang berusia 66 tahun itu berkata, kawasan pilihan raya itu akan menjadi lebih kuat.

Sambil ketawa Anwar berkata beliau yakin partinya akan menjadi lebih kukuh lagi kerana "bos mereka dalam kepayahan".

"Saya secara peribadi akan ke sana dan berkempen bagi memastikan kemenangan," katanya.

'PAS terkejut Anwar bersalah, kongsi kecewa'

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu terkejut dan kesal dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang tergesa-tergesa menjatuhkan hukum bersalah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat II petang ini.

Abdul Hadi berkata PAS dan rakyat bertegas bahawa keadilan mesti ditegakkan dengan telus dan bermaruah serta dilihat ditegakkan dengan teliti, cermat dan adil mengikut prinsip undang-undang yang bebas.

"Apatah lagi sekiranya kita merujuk kepada sistem keadilan perundangan Islam yang menekankan bahawa sedikit sahaja keraguan dalam proses perbicaraan itu sudah cukup untuk membebaskan seseorang yang didakwa.

"Prinsip keadilan sebegini tidak dapat dilihat dalam kes yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini dengan sendirinya akan berterusan menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dalam negara kita ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata PAS berkongsi kekecewaan itu dengan anggota keluarga Anwar terutamanya isteri beliau Datin Seri Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR dalam menghadapi ujian yang sangat berat ini.

"PAS akan terus memberikan segala bentuk sokongan kepada beliau dan ahli-ahli PKR, serta seluruh penyokong Pakatan Rakyat dalam meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan sehingga keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman dapat diruntuhkan," katanya.

Saiful bersyukur keputusan memihak kepadanya

'Benar janji Allah, yang hak pasti mengatasi yang bathil,' tulis Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam blognya.

Saiful adalah bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan pengadu dalam kes liwat 11 terhadap ketua umum PKR itu.

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan pihak pendakwa terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini membebaskan Anwar daripada tuduhan tersebut.

Ekoran itu, mahkamah telah menjatuhkan hukuman lima penjara terhadap Anwar. Mahkamah juga membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut dan mengenakan ikatjamin RM10,000.

"Berkat doa, istiqamah dan sabar selama 6 tahun, saya bersyukur ke hadrat Ilahi dengan keputusan Mahkamah hari ini yang memihak pada saya.

"Saya dan keluarga menghormati keputusan Mahkamah hari ini.

"Kebenaran ini penting dan amat bermakna buat saya dan seluruh keluarga saya.

"Yang pasti, saya dan keluarga kehadapan... Saya berdoa semoga Allah SWT terus memberi perlindungan dan kemudahan dalam segala urusan saya.

"Terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama saya selama ni. Allah sahaja mampu membalasnya.
 
"Akan terus Istiqamah. Kepada Allah saya berserah" tulis Saiful

Related Post



Posting Komentar