Pengacara 999 Berhijab, Hazlin ingat mati

Posted by Semua Berita Ada Disini

BEKAS peserta program Gadis Melayu 2 ini mempunyai ramai rakan yang bekerja dalam bidang penguatkuasaan undang-undang.


MENELADANI pedoman yang lebih positif, citra penyampai berita Buletin Utama dan pengacara rancangan 999, Hazlin Hussain kini berubah.
Tampil dengan imej bertudung, Hazlin, 31, atau lebih mesra disapa Lin kelihatan lebih tenang.
Sementelah program televisyen yang dikendalikan, karakter tegas sebelum ini lebih banyak mencerminkan sisi sebenarnya.
Hazlin popular menerusi rancangan penyiasatan jenayah TV3, 999 selepas bakatnya dicungkil menerusi program pencarian bakat, Gadis Melayu musim kedua.
Dia yang ditemui dalam program khidmat masyarakat sempena Anugerah Bintang Popular di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor baru-baru ini berkongsi perjalanan hijrahnya.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Hazlin.
Kosmo!: Alhamdulillah Hazlin sudah berhijab sekarang, mungkin boleh dikongsikan serba sedikit perjalanan awal hijrah anda?
HAZLIN: Alhamdulillah saya mula bertudung pada hari Selasa (25 Februari 2014). Semuanya bermula apabila saya mendapat berita kematian kawan yang paling rapat, Mohd. Faris Zaidi pada 19 Februari lalu akibat serangan jantung. Setelah kehilangan dia yang saya kenal selama 13 tahun, saya merasakan satu kehilangan besar dalam hidup hingga tiada tempat bergantung. Terdetik dalam hati saya cuma Allah yang saya ada dan hanya Dia tempat saya mengadu, bergantung harap sekarang dan rasa selamat.
Sudikah Hazlin jelaskan dengan lebih lanjut?
Terlintas dalam fikiran saya, bila-bila masa saja saya boleh mati tanpa saya sangka. Saya jadi takut dan saya kena berubah. Perkara pertama adalah menjaga hubungan saya dengan Allah.
Apakah perkara terbesar yang dipelajari apabila berhijab?
Saya dapat merasakan sesuatu yang lain pada diri saya yang mungkin tiada sebelum ini. Saya rasa lebih dihormati dan terhindar daripada gangguan orang. Kalau dahulu, saya sendiri memberikan peluang untuk anasir negatif mengganggu saya, contohnya gangguan berbaur seksual tapi insya-Allah sekarang mohon dijauhkan.
Bagaimanakah perasaan hari pertama berhijab?
Hari Selasa lepas, saya mahu keluar rumah untuk membeli pakaian baharu untuk berhijab tapi apabila hendak keluar rumah tiba-tiba tercetus dalam hati mungkin ajal saya pula selepas ini. Saya takut mati. Kemudian saya cari apa saja yang ada di dalam rumah untuk disarungkan ke kepala. Alhamdulillah selepas itu saya rasa segala urusan dipermudahkan, senang mencari pakaian yang sesuai untuk dipakai sekarang.
Bagaimanakah pula sokongan orang sekeliling Hazlin?
Produksi 999 sangat menyokong perubahan saya dan apabila pertama kali berhijab saya sentiasa menangis. Tambah pula dengan ucapan yang diterima secara peribadi atau di laman sosial sampaikan saya tidak menyangka sebegitu hebat penerimaan orang ramai terhadap imej baharu saya.
Ada sesetengah artis atau selebriti yang selepas berhijab menjual atau sedekahkan semua pakaian yang sedia ada untuk mencari pakaian baharu yang lebih sopan dan sesuai dengan imej. Bagaimana pula dengan Hazlin?
Ada juga pakaian saya masih boleh dipakai dan disuai padankan dengan pakaian lain yang lebih sopan. Selepas saya memuat turun foto saya bertudung di laman Instagram dan Facebook, Alhamdulillah, ada yang menawarkan untuk memberi hadiah selendang, tudung dan pakaian yang bersesuaian dengan syariat Islam. Begitu juga gambar-gambar lama, yang lepas biarlah lepas. Matlamat saya adalah sekarang dan masa hadapan.
Adakah mungkin hijrah Hazlin akan membataskan kerjaya anda sebagai wartawan jenayah yang banyak beraksi lasak seperti sebelum ini?
Saya masih sama cuma perlu menjaga adab, tatasusila dan aurat. Tiada alasan untuk saya tidak bekerja dan tidak perlu untuk malu kerana saya bukan buat kerja haram. Selama ini pun, ramai kawan saya yang bekerja dalam bidang penguatkuasaan yang bertudung, jadi kalau masuk kelab pun kerana melakukan serbuan. Insya-Allah, saya masih berusaha untuk menyesuaikan diri.
Bagaimanakah pendekatan Hazlin untuk beristiqamah dalam keputusan yang telah diambil?
Saya belajar daripada kawan-kawan dan orang yang berilmu. Syukur kerana saya dikelilingi teman yang sentiasa menasihati dan membimbing saya dalam banyak perkara. Selain itu, saya ada rujukan sendiri ke arah mendalami ilmu agama Islam contohnya kelas agama sebagai suntikan baharu buat diri sendiri.

Related Post



Posting Komentar